Mustaqeem – part 2

6

Barang siapa yang mengerjakan perbuatan jahat, maka dia akan dibalas sebanding dengan kejahatannya itu. Dan barang siapa mengerjakan kebajikan, baik laki-laki atau perempuan sedangkan dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tidak terhinggar.(Surah Ghafir : 40)

Ustaz Umar menghampiri cucu sulungnya yang baru berusia 5 tahun. “cucu atuk buat apa ni?” sambil menggosok kepala kanak-kanak itu.

“tengok handphone Cik Aisyah..”

“tengok apa?” lembut dia bersoal dan melihat skrin telefon Aisyah.

Tersentap hati tua nya. Telefon di tangan cucunya di ambil. Dia melihat dengan  teliti. Gambar Aisyah dengan lelaki. Bukan seorang lelaki. Banyak lelaki berlatar belakangkan pentas. Tanpa tudung! Ustaz Umar memegang jantungnya. Sakit !

“atuk kenapa?” lembut kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa itu bertanya.

“Aisyah !” jerit Ustaz Umar.

Satu rumah terkejut. Ustaz Umar bukanlah seorang insan yang suka menjerit tidak tentu pasal ini. Tetapi kesabarannya kali ini sangat-sangat menipis. “Aisyah!!”

Aisyah keluar bilik mendapatkan ayahnya yang sudah macam singa itu. “kenapa?” soalnya.

“ini apa?”

Aisyah terkejut melihat skrin telefon yang memaparkan imej dia,Syuk,Zack dan Emmi sewaktu di konsert itu. Dia lupa hendak buang gambar itu. Bibir di ketap. Sumpah, kali ini sangat dia takut.

“sampai hati Aisyah tipu ayah! Tipu ibu!” telefon bimbit Aisyah itu di baling ke dinding.

Aisyah hanya diam. Mati dia kali ini. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Dia bukan setakat jatuh ke tanah, sudah patah riuk. “ayah..”

“ini Aisyah kata pandai jaga diri? Aisyah boleh tipu ibu dan ayah tapi Aisyah tak akan boleh tipu Dia Yang Mengetahui” Ustaz Umar yang tadinya berdiri sudah duduk untuk meredakan amarahnya. “ tak cukup ke didikkan agama yang ayah bagi? Ayah malu dengan Allah. Anak ayah macam ni..” menistis air mata tuanya.

Aisyah kelu. Ibunya juga mengalirkan air mata walaupun tidak sempat melihat imej yang sangat tidak sopan itu. Bukan senang untuk melihat insan setabah suaminya untuk menangis. Jika lelaki itu  menangis di hadapan manusia, maksudnya dia kecewa sangat.

“ayah akan uruskan pernikahan kamu dengan Mustaqeem.”

Aisyah diam. Keras hatikah dia sampai tidak mengalirkan walau setitik air mata apabila melihat kedua orang tuanya menangis?

* * * *

“kenapa Edri dari tadi duduk tak senang?” tegur Mustaqeem.

Edri senyum kelat. “aku call orang tak dapat.”

“tak ada batteri kot, tak pun tak ada line.”

“perhaps.”

Sudah dua hari Mustaqeem kerja dengan Edri buat sementara waktu. Seronok juga dia, dapat pengalaman baru yang boleh di aplikasikan dalam bidangnya kelak. “kau tak keluar mana-mana?”

Edri ketawa sinis. “nak keluar ke mana, girlfriend aku balik kampung.”

Mustaqeem hanya mengangguk. “asyik bercinta sahaja, terus sahajalah bernikah.” Menambah dosa sahaja atas setiap perilaku. Bukankah bercinta lama-lama akan mengurangkan berkat dalam rumah tangga?

“aku nak Mus. Bukan tak nak, tapi aku rasa aku takut aku tak jadi pemimpin yang baik.”

Mustaqeem terdiam. Seakan mahu dia berkata ‘aku juga’ tetapi suara itu tidak keluar. “perkahwinan itu ibadah.” Entah mengapa gatal mulutnya itu berkata sebegitu.

“Mus, kau boleh tolong aku?”

Mustaqeem menayangkan muka ‘tolong apa?’

“aku nak belajar ilmu agama.”

SubhanaAllah!

“insyaAllah sahabat, kita belajar sama-sama.”

________________________________________________________

7

Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikkan serta Sling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. (Surah Al-Asr)

Masa pantas berlalu. Sungguhlah, kita tidak boleh menunggu masa, kerana ianya datang dan pergi, dan tak akan kembali. Gunalah teknologi canggih macam mana sekalipun. Masa tetap tidak akan kembali pada kita yang akan datang adalah masa baru dan kita perlu membuat sesuatu yang lebih baik pada tika itu.

“maaflah Mus aku tak dapat datang hari bersejarah kau..” sayu Edri bersuara di talian hujung sana.

Mustaqeem hanya senyum walaupun Edri tidak akan nampak. “tak apalah, kau kan sibuk.”

“tak sangka kau kahwin dulu dari aku.”

Sekali lagi Mustaqeem ketawa lembut. “jodoh. Kau pun cepat melamar kekasih hati kau tu.”

“insyaALLAH, aku kena jadi lelaki yang boleh memimpin dulu. Sudah yakin dengan diri baru aku melamar dia.”

“jangan lama-lama sangat.”

“okay,bro. don’t worry. Okaylah, tak nak ganggu kau pula. Bye.”

“bye. Assalammualaikum.”

Setelah mematikan talian Mustaqeem kembali ke ruang tamu rumah Aisyah. Perkahwinan yang ringkas. Tiada bersanding, cukuplah sekadar kenduri doa selamat dan hebahan bahawa dia sudah berkahwin. Hanya beberapa hari sahaja persiapan yang dilakukan. Mungkin orang akan berkata, ‘mesti ada sesuatu yang tidak kena’ tetapi bagi Mustaqeem insyaALLAH dia lakukan kerana Allah. Tidak salah dia cuba memimpin Aisyah supaya ke pangkal jalan, walaupun jalan yang bakal di lalui mungkin akan pahit.

“Aisyah, pergi ambil air untuk Mustaqeem, mesti dia penat sehari suntuk layan tetamu.”

Aisyah tarik muka. Sesungguhnya dia tak suka !

Mustaqeem yang perasan riak isterinya itu senyum. “eh, tak apa. Saya tak haus.”

“Esok kamu balik KL?”

Mustaqeem senyum lagi. Tidak kedekut senyuman dia malam ini. “insyaAllah, ayah. Ayah tak kisahkan?”

“eh, tak lah.” Ustaz Umar senyum. “jaga Aisyah itu ya. Kalau dia salah tegur. Jangan di biarkan.”

Aisyah sudah bangun. semua memandangnya. “Aisyah masuk bilik dulu.”

Ustaz Umar seakan hilang kata. Malu pada Mustaqeem, seolah-olah macam dia memberi racun pada Mustaqeem, dan suruh Mustaqeem cari penawar sendiri. “jangan ambil hati.”

“eh, tak ada apa-apalah ayah..”

* * * *

Aisyah masuk ke bilik dengan hati yang membara marah. Telefonnya yang sudah pecah separuh itu di capai. Selamat selepas ayah baling masih lagi boleh guna. Nombor seseorang di dail.

“hai..”

Ceria Edri menyawab panggilan. “okay, mimpi apa call I ?”

Mimpi ngeri. “eh, call pun tak boleh?”

“boleh je. So, you dekat kampung lagi? Bila nak balik KL ?”

Aisyah jadi serba salah hendak menjawab. “er, Ed, sejak kes tu. My parents suruh I…”

“suruh you?”

“pindah rumah aunty I, sebab hari tu diaorang ingat I just pengsan biasa, kan diaorang tak tahu I hampir di perkosa, so, diaorang takut I pengsan lagi..”

Edri senyum di hujung talian. “okaylah tu. So, tak adalah you di ganggu. Selamat sikit kan.”

“ya memang. Tapi kita sudah tidak boleh selalu keluar malam. Aunty I garang tau..” tipu Aisy. Aunty apa? Mak mertuanya.

Edri diam seketika. “tak apalah, siang boleh keluar. Okay, jugak tu malam you tak merayau.” Ed ketawa.

“jahatlah you ni..” Aisyah terdengar derapan kaki ke biliknya. “er.. nanti I call lagi. Mengantuk dah..”

“oh, okay. Night.”

Talian telefon cepat-cepat di matikan. Mustaqeem sudah masuk ke bilik. Dia tidak langsung memandang wajah suaminya itu. Baginya ini salah Mustaqeem juga, kenapa lelaki itu tidak membantah perkahwinan ini? Bukankah lelaki itu juga sedang belajar? Sengaja! Semua orang cuba merosakkan kehidupan, kebebasan yang baru hendak di rasai.

Mustaqeem senyum. “siapa call tadi?” lembut dia berbicara.

“kawan..”

“oh, ada datang tadi waktu kenduri ?”

Datang? Oh, tolonglah seoarang kawan pun dia tak jemput. “tak.”

Mustaqeem senyum dia duduk di sebelah Aisyah. “kawan awak kawan saya juga. Nanti boleh kenalkan.”

Kenalkan Edri dengan dia. Huh, macam menempah tiket untuk mati. Aisyah bangun dari birai katil itu. “Ada assignment hendak buat. Sibuk sikit.”

“jom buat sama-sama. Saya teman.” Cuba ramah tamah dengan isteri yang baru beberapa jam di nikahi.

Aisyah jadi rimas. “tak perlulah. Tidur sahajalah. Lama ni nak siapkan.” Mendatar.

Mustaqeem diam. Mungkin Aisyah tidak selesa. “okay. Saya tidur dulu.” Dia berdiri di hadapan isterinya. “.. selamat malam sayang.” Ubun-ubun isterinya di cium. “Assalammualaikum.”

Aisy jadi terkaku. Pertama kali dalam hidup dia di panggil sayang oleh seorang lelaki dengan nada suara yang sangat ikhlas dia rasa. Cepat-cepat rasa itu di buang jauh-jauh.

____________________________________________________________

8

Edri terjaga dari tidur. Tercungap-cungap dia. Peluh di dahi di kesat dengan tapak tangan. Istighfar panjang dengan mimpinya sebentar tadi. Dia mimpi dia kemalangan dan mati. Selepas mati dia di masukkan dalam kubur. Setelah itu kuburnya sempit dan menyesakkan nafasnya.

Satu suara besar mengherdik pada dia ‘kau manusia keji! Kau manusia tak reti bersyukur!’ setelah itu dia di heret ke suatu tempat yang luas. Dia di kelilingi api. Panas. Bukan setakat itu, di pukul dengan besi yang panas. Dia takut.

Air mata lelakinya deras mengalir. Saat ini dia benar-benar bersyukur yang tadi hanya mimpi sahaja. Lantas dia bangun dari katil menuju ke bilik air.

Setelah berwudhuk Edri mengambil sejadah yang tergantung di sudut bilik. Sejadah yang jarang-jarang di gunakan. Sejadah itu di arahkan pada arah kiblat yang memang tersedia ada di dalam biliknya.

Dia berdiri tegak.

Niat solat taubat di lafazkan. Allahu  Akhbar ! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.

* * * *

Mata Aisyah terkebil-kebil. Mengantuk yang teramat sebenarnya tetapi tidak boleh tidur. Komputer riba di hadapannya di pandang sepi. Setelah itu, matanya mengalih pandang ke arah katil. Mustaqeem sedang lena tidur. Jam besar di dinding atas kepala  katil itu di pandang sekilas. 4 pagi.

Assignment yang perlu di hantar untuk menggantikan assignment yang tertinggal itu sudah hampir siap. Kepala sudah tidak tertahan sakitnya kerana menahan mata dari tidur. Dia tahu, kalau dia pandang cermin saat ini, pasti matanya kini berwarna merah. Sekali lagi dia menahan kuap.

Aisyah tersentak saat bunyi alarm telefon Mustaqeem. Cepat-cepat dia meletakkan kepalanya di atas meja dan buat-buat tidur. Malas untuk dia menjawab soalan Mustaqeem nanti kalau tanya kenapa dia tidak tidur lagi. Mata di pejam rapat-rapat.

Mustaqeem mencapai telefon yang terletak dia atas meja sebelah katil. Memang sudah biasa yang telefon itu akan berbunyi untuk mengejutkan dia pada pukul 4 pagi, untuk dia beribadah pada Allah.

Setelah mematikan bunyi alarm itu. Mustaqeem seperti biasa akan membaca doa selepas bangun tidur dan ucapan syukur atas nikmat Allah padanya. Kaki di turunkan ke lantai, matanya terkejut saat terlihat Aisyah tidur berlapikkan tangan di meja belajar. Baru dia teringat yang dia sudah berumah tangga.

Mustaqeem senyum sendirian. Perlahan-lahan dia menuju ke arah meja belajar yang terletak di sudut bilik itu. Rambut depan Aisyah yang menutup separuh muka isterinya itu di selak ke telinga. Dia senyum.

Tangan Aisyah yang memegang pensil itu di leraikan dari pensil. Buku-buku yang terbuka yang bertaburan itu di kemas. Setelah itu dia mendukung Aisyah dan di letakkan di katil. Selimut tebal berwarna ungu itu di tarik hingga ke bahu Aisyah, sebelum kembali semula ke meja belajar untuk mematikan komputer riba itu sempat dia menghadiahkan sebuah ciuman di dahi isterinya.

Mustaqeem meletakkan mood ‘sleep’ untuk komputer riba itu, takut-takut ada dokumen yang penting kalau dia ‘shut down’ kan. Selesai semua itu dia ke bilik air yang terletak di dapur rumah untuk berwudhuk.

Aisyah yang sedar Mustaqeem sudah keluar dari bilik membuka matanya. Dia terkedu sendiri dengan layanan Mustaqeem. Pada mulanya berdebar-debar juga hatinya tatkala Mustaqeem mendukungnya. Dia tekad, kalau Mustaqeem buat yang tidak-tidak mahu dia menjerit biar satu rumah dengar.

Tiba-tiba, hatinya berdebar lagi. Semua perasaan yang bertandang di hati di buang jauh-jauh. Tekad hatinya tidak akan membiarkan perasaan lain bertandang kecuali pada Edri. Kepalanya sudah berdenyut kuat akibat tidak cukup tidur. Mata yang sudah berair menahan katuk di pejamkan.

__________________________________________________________

9

“Sayang… bangun..” lembut Mustaqeem mengejutkan isterinya untuk bangun solat Subuh. “Siti Aisyah… bangun..”

Sayup-sayup Aisyah mendengar orang memanggilkannya sayang dan menyebut nama penuhnya. Mata cuba di buka. Kepala masih berdenyut-denyut. Perlahan-lahan mata di buka. Alangkah terkejutnya dia saat mata terbuka, wajah suaminya begitu hampir dengannya sedang tersenyum manis.

“mengantuk sangat ya?”soal Mustaqeem masih dengan nada yang lembut.

Aisyah mengangguk perlahan. Kepalanya di pegang. Berdenyut.

“sakit kepala?”

“hmm..” jawab isterinya acuh tak acuh.

Mustaqeem masih senyum. “kita sembahyang Subuh dulu, lepas ni saya urut kepala awak ya. Dah, cepat bangun.”

Aisyah naik bengang. Tak boleh ke skip solat Subuh tu, aku kan sakit kepala ni. “solat lah..” kata Aisyah dan kembali menarik selimut.

“solat itu kan wajib,sayang. Sakit macam mana pun mesti solat dan kalau sakit teruk ada cara-cara solat ketika sakit.”

Aisyah memusingkan letak badannya. Dia tahulah semua tu, tak payah nak ulang. Mata cuba di pejamkan.

“Aisyah..” panggil Mustaqeem pada Aisyah yang sudah membelakangkan dia. Kali ini nada agak mendatar sedikit tetapi tidak garang. “..zaman nabi dulu, waktu berperang para sahabat yang tercerdera teruk pun masih mampu melakukan solat. Awak sakit kepala je kan?”

“ha! sakit kepala! Sakit sangat! Boleh tak jangan ganggu. Orang nak tidur lah.!” Bentak Aisyah. Peduli apa dia suami ke apa? Sakit telinganya apabila pagi-pagi sudah di bebel.

Mustaqeem menahan sabar. Nak hidup dengan si Aisyah ni lama. Nanti kalau dia hilang sabar lain jadinya. Dia bangun dari katil. “cepat bangun. saya tunggu awak untuk solat.” Kali ini nada itu sangat tegas. Mustaqeem mengambil Al-Quran dan duduk di atas sejadah yang sudah tersedia di bentang.

Aisyah sudah mendengar suara Mustaqeem mengalunkan ayat suci Al-Quran itu. Dengan perasaan yang geram dia bangun dari katil untuk mengambil wudhuk. Entah mengapa, dia rasa, dia perlu juga solat Subuh itu dan tak boleh skip , sebab bagi pendapatnya, solat itu wajib, dan tak mustahil Mustaqeem akan membuat sesuatu di luar jangkaannya kalau dia tak patuh. Lebih baik dia ikut jika tidak mahu sesuatu buruk berlaku.

Mustaqeem yang sedang membaca Al-Quran itu tidak khusyuk apabila terdengar Aisyah menghentak-hentak kaki. Walauapapun, dia masih tersenyum kerana wanita itu mendengar kata.

Setelah beberapa minit Aisyah kembali dengan muka masih basah. Sewaktu dia ke dapur tadi ibunya sudah memasak untuk sarapan pagi. Dia hanya diam sahaja. Tidak bertegur sapa. Dia hendak ibu tahu yang dia sedang protes.

Selesai memakai telekung, Aisyah masih duduk di birai katil memerhatikan Mustaqeem yang sedang meletakkan Al-Quran di almari.

“jom solat.” Sapa Mustaqeem. “..dah lewat ni.”

Aisyah berjalan malas ke arah sejadah belakang Mustaqeem. “hm, baca surah pendek-pendek je tau.” Sempat Aisyah berpesan.

Mustaqeem yang sudah berdiri tegak itu hanya senyum dan menggeleng. Sebelum memulakan jemaah dia beristigfar.

Niat fardhu Subuh di niatkan dalam hati. “Allahuakabar.”

Habis sahaja solat Subuh berjemaah. Laju Aisyah membuka telekungnya dan terus ke katil. Dia mengantuk sangat ni, kepala masih berdenyut-denyut. “tolong lipat.” Katanya pada Mustaqeem. Sedap sahaja dia mengarah suaminya itu. Sudahlah tidak bersalaman langsung selepas solat.

Mustaqeem hanya menggeleng kepala. Nasiblah dia seorang yang sabar. Telekung Aisyah di atas sejadah itu di ambil dan di lipat rapi. Setelah itu di gantung di almari.

Dia menghampiri isterinya yang sudah baring di katil dengan mata terpejam. “Aisyah..” Mustaqeem duduk di sebelah Aisyah yang sedang baring. “sakit kepala lagi?”

Aisyah sudah seakan tak larat nak menjawab. Dia mengangguk dengan mata terpejam.

Mustaqeem mengambil minyak angin di dalam begnya. Perlahan-lahan dia menyapu minyak itu di dahi Aisyah. Lembut tangannya mengurut kepala isterinya. Aisyah lena.

Ya Allah, kuatkanlah hamba untuk menjaga masjid yang di bina ini.

Sedang leka dengan perasaan sendiri dan tangan yang masih mengurut kepala Aisyah itu, telefon Mustaqeem berbunyi. Pantas dia bangun mendapatkan telefon itu.

Edri.

Salam berbalas.

“wah, pagi-pagi bos dah call?” seloroh Mustaqeem.

Edri ketawa. “eh, ganggu kau dengan wife kau ke?”

“tak adalah. Kenapa ini?”

“bila kau balik KL aku nak jumpalah.”

Mustaqeem kembali duduk di sebelah Aisyah. “hari ini. Petang kut. Datang rumah aku lah kalau nak jumpa. Boleh aku kenalkan dengan isteri aku.”

“haa. Bagus juga tu. Nanti kalau dah sampai sms aku je lah.”

“okay.”

_________________________________________________________

10

“kalau tak larat balik KL hari ini, tak apalah, kita balik esok.”

Aisyah yang tidak  bermaya itu menggeleng. Entah, selepas bangun tidur tadi, terus kepalanya makin berdenyut, dan tekanya loya seperti mahu muntah. Ini tanda-tanda hendak demam. Bukan dia tidak arif dengan tubuh badannya. Dia bukanlah seorang yang boleh tidur tidak cukup, nanti akan demam. “kena balik juga, sebab esok kena pergi kolej nak hantar  assignment yang tertangguh tu.”

Mustaqeem pandang isterinya yang sedang bersandar di kepala katil. “okay sayang kalau macam tu. Sekejap lagi saya tolong kemas barang. Rehatlah dulu, saya jumpa ayah dengan ibu jap.”

“hm.”

Sebaik sahaja Mustaqeem keluar dari biliknya di kampung itu, telefonnya berbunyi. Lemah dia mencapai telefon dalam beg atas meja make-up itu. Sakit-sakit pun senyum masih terukir memandang skrin telefon.

“hai Aisy.”

Dia terbersin. “hai.. Ed..” serak suaranya.

“hm, you demam ke?”

“haah.”

“let’s me guess. Ini tidur tak cukup ke kena hujan?” sudah arif dengan teman wanitanya ini. Mudah jatuh sakit kalau terlibat dengan dua perkara itu.

Aisy ketawa lucu dengan suara seraknya. “the first.”

“you buat apa sampai tidur tak cukup?”

“assignment. Esok dah kena hantar.”

“oh,ya. You balik KL bila?”

“petang ni kot.”

“malam jumpa?”

Aisy jadi serba salah. “em, tak bolehlah Ed. Kan I kata aunty I garang.”

“ha, I lupa. Kalau macam tu I datang jumpa you dekat rumah dia. Tinggal dekat?”

Gila ke apa nak beritahu. “Aunty I jenis tak suka orang lelaki datang malam-malam ni.”

Ed mengeluh. “okaylah kalau macam tu I datang siang?”

“Ed, jumpa dekat kolej I je lah.”

“hm, yelah. So, ni you dah makan ubat belum ni?”

“dah.”

“aik, selalunya lambat you makan ubat.”

Mana tidak cepatnya, kalau ada orang yang ambil berat terlebih. Dia bangun sahaja dari tidur, Mustaqeem telah membawa sarapan dan ubat dan dia di paksa makan. “Ed, I tak larat lah.” Sengaja mahu memutuskan panggilan sebab di khuatiri Mustaqeem akan masuk ke bilik.

“okay, take care. Miss you.”

Tersentak Aisy. Jarang lelaki itu hendak mengutarakan ayat-ayat romantik. “ miss you too.” Talian telefon di matikan. Aisy jadi tak keruan. Suami atau Edri? Lama-kelamaan perkara ini akan terbongkar juga. Ya Tuhan, tak sanggup dia hendak kehilangan Edri. Habis suaminya itu hendak letak mana?

* * * *

Ed tersenyum selepas membaca sms dari Mustaqeem yang menyatakan dia sampai di rumah malam kerana bertolak lewat dari kampung isterinya. Selesai sembahyang Maghrib dia menuju keluar mencari mamanya.

Edri senyum saat ternampak mamanya tengah membaca majalah di ruang tamu. “ma..”

Pn.Kamariah memandang anak lelakinya yang berpakain kasual seperti mahu keluar.. “ha, nak keluar ke mana lagi malam-malam ni?”

“nak ke rumah Mak Ngah jumpa Mus, ma nak ikut?” dia duduk di sofa hadapan mamanya.

Majalah di tangan di tutup. “tak apalah, mama penat. Sekejap lagi kakak kamu hendak balik. Kirim salam sahaja pada mereka.”

“okay.” Edri bangun kembali untuk bersiap-siap keluar.

“Edri..” panggil Pn.Kamariah.

Edri berpusing.

“kamu dah solat Maghrib belum?”

Senyum terukir. “dah ma.”

Pn.Kamariah hanya mengangguk dan senyum. Anak lelakinya seorang ini memang lain dengan adik-beradik yang lain. Kehidupan barat itu yang di bangga-banggakan. Apa yang hebat sangat pun dia tidak tahu.

Mujurlah akhir-akhir ini sikap Edri sudah banyak berubah. Kalau dulu,nak lekat dekat rumah pun susah. Berpoya-poya sahaja. Dia bersyukur sangat Mustaqeem hendak berkerja dengan anaknya. Sekurang-kurangnya,Mustaqeem dapat membantu Edri untuk berubah ke arah kebaikkan.

Dia perasan yang anaknya mula sedikit berubah bila dia utarakan soalan ‘bila Edri hendak kahwin?’ dan sempat dia berpesan pada anaknya itu. ‘nak jadi pemimpin ini susah Edri kalau tak ada agama. Sampai bila kamu hendak berpoya-poya, berseronok? Kamu mahu anak-anak kamu mengikut jejak langkah ibu bapanya yang tak semegah tu?’

Dan selepas saat itu, Edri hanya diam. Dia tahu anak lelakinya itu fikir apa yang dia cakapkan. Selalu dia mendoakan agar Edri mendapat hidayah.

* * * * *

Mustaqeem sibuk mengemas baju-bajunya untuk di asingkan mana yang basuh, mana yang hendak di masukkan kembali dalam almari. Walaupun penat memandu dari Johor ke Kuala Lumpur masih tidak hilang,dia tekad untuk mengemas barang-barangnya semua supaya tidak kelihatan semak. Bukan dia tidak mahu menyuruh Aisyah kemas, tetapi dia kesian sebab isterinya itu masih sakit kepala. Justeru, dia hanya biarkan Aisyah baring di katil dengan membaca novel karya Danielle Steel.  Khusyuk betul isterinya itu.

Sedang leka kedua-duanya dengan aktiviti masing-masing. Telefon Mustaqeem berbunyi. Pantas dia bangun mengambil telefon di atas meja.

“Assalammualaikum”

“waalaikumsalam, Mus, aku dekat depan rumah kau ni..”

“oh,okay. Aku turun.” Talian di matikan. Mustaqeem memandang Aisyah. “awak, sepupu saya datang. Nanti turun ya.”

Aisyah hanya menjawab ala kadar. “hmm..”

Advertisements

One thought on “Mustaqeem – part 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s